KUALA LUMPUR –  Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang bermula 30 Julai hingga 3 Ogos ini bakal menjadi platform terbaik untuk memperkasa usahawan desa yang telah mendapat bimbingan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi-agensinya.

Ia juga membuka peluang kepada usahawan-usahawan luar bandar yang berpotensi dan memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan.

Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, karnival lima hari yang bakal diadakan di MITEC, Kuala Lumpur itu akan memperkukuh kedudukan usahawan desa dari pelbagai aspek termasuk pendigitalan dan pensijilan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, karnival itu turut membolehkan usahawan luar bandar meneroka pasaran yang lebih meluas di dalam dan luar negara menerusi sesi padanan perniagaan dan seterusnya berpeluang mendapat akses pasaran sehingga ke peringkat global.

“Ia juga menjadi ruang sinergi antara pelbagai agensi, pelabur dan pembeli dalam menjana transaksi niaga yang disasarkan mencecah RM209 juta, selaras dengan agenda RMKe-12 dan dasar pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

“Dengan tema “Desaku Mendunia”, ini adalah komitmen kita untuk mengangkat potensi desa ke tahap antarabangsa. Justeru, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk hadir dan menjayakan MK3D demi sebuah masa depan desa yang lebih maju, berdaya saing dan inklusif. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, MK3D adalah sebuah platform besar yang julung kali menghimpunkan kekuatan tiga nama besar iaitu KKDW, FELDA dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu rangka kerja strategik pembangunan desa yang lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi.

Sementara itu, KKDW dalam kenyataannya berkata, MK3D dijangka dirasmikan Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 2 petang, Sabtu 2 Ogos 2025.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut dijangka menyerahkan beberapa bantuan atau kemudahan kepada agensi-agensi di bawah KKDW.

Ini termasuk Geran Pendigitalan Perniagaan atau lebih dikenali sebagai DIGITALBIZ oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang diwujudkan untuk menyokong usahawan Bumiputera mengadaptasi serta mengintegrasi teknologi digital ke dalam operasi perniagaan.

Sejumlah RM5 juta diperuntukkan tahun ini bagi dan bakal memberi manfaat kepad 460 usahawan.

Selain itu, MARA menerusi Program Pensijilan Perniagaan – Business Enrichment, Standardization & Transformation (BEST) akan menerima peruntukan RM1 juta untuk membantu meningkatkan standardisasi, produktiviti dan transformasi syarikat.

Peruntukan tersebut dijangka memberi manfaat kepada 127 usahawan yang memerlukan kemudahan pensijilan.

RISDA pula telah diperuntukkan sebanyak RM28.6 juta bagi tahun 2025 menerusi Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) iaitu sebuah inisiatif dalam memperkasa serta menaiktaraf ekonomi pekebun kecil getah menerusi galakan aktif dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Peruntukan tersebut dijangka memberi manfaat kepada seramai 2,500 usahawan pekebun kecil getah sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Menurut KKDW lagi, MK3D 2025 turut disertai 10 agensi di bawah kementerian tersebut seperti MARA, FELCRA Berhad, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Agensi-agensi berkenaan akan terbabit dalam pameran dan pelbagai aktiviti bermanfaat antaranya sesi penerangan dan pendaftaran Skim Pembiayaan Ekonomi Desa serta Program Pendigitalan Usahawan bersama rakan strategik seperti Shopee, Lazada, TikTok dan banyak lagi.

MK3D juga menyediakan pelbagai gerai jualan, pameran serta aktiviti menarik kepada para pengunjung seperti Jualan Rahmah MADANI, Make-Up Challenge, Demo Hiasan Kek Cawan, Demonstrasi Mencanting Batik dan Pertandingan Kids Talent Time.

Pengunjung bertuah pula berpeluang membawa pulang sebuah kereta menerusi Cabutan Bertuah.

-- MalaysiaGazette

 

Lain-lain pautan seperti berita ini:


Federal Land Development Authority, FELDA Tower, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia.
Telephone: 03-2191 2191 | Email : [email protected]

Best viewed using the latest version browser with Resolution 1280 x 1024 and above.

socmed1 socmed2 socmed3  socmed4  socmed4  socmed1