Media Media Release List of Media Release Hebahan 2025 Festival FGV 2025 platform perkasa peneroka Felda ke persada antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kolej Yayasan FELDA (KYF) perlu memperluaskan penawaran program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi kerana bidang itu bukan lagi dianggap pilihan kedua, sebaliknya menjadi arus perdana yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyarankan KYF memperluaskan penawaran program seperti teknologi makanan, kraf tangan, pertanian pintar, ekonomi digital dan keusahawanan sosial desa yang sejajar dengan keperluan industri masa hadapan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata, langkah itu juga bagi menjadikan KYF kekal relevan dalam ekosistem pembangunan desa yang inklusif dan mampan.

"Kerajaan sebelum ini melancarkan platform UP_TVET iaitu saluran permohonan kemasukan kursus TVET di negara ini pada 2023 dan sambutannya amat luar biasa.

"Pada tahun pertama pelaksanaannya, sebanyak 90,558 permohonan diterima dan jumlah itu meningkat melebihi 200,000 permohonan pada tahun kedua iaitu tahun lalu," katanya berucap pada majlis perasmian Majlis Konvokesyen KYF ke-26 di sini, hari ini.

Seramai 534 graduan KYF diraikan pada majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pada majlis itu, turut berlangsung Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) selama lima hari berakhir Ahad ini bagi membuka peluang golongan usahawan FELDA memasarkan produk mereka dan meneroka pasaran baharu di dalam serta luar negara.

Ahmad Zahid berkata, jumlah permohonan yang tinggi itu membuktikan TVET kini sedang membentuk gelombang perubahan besar dalam pembangunan modal insan negara.

"Kadar kebolehpasaran graduan TVET yang mencecah 95.1 peratus juga mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga kerja berkemahiran ini," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan satu laluan khas diwujudkan bagi menggalakkan pembabitan semula alumni KYF sama ada sebagai tenaga pengajar, mentor industri, pembimbing keusahawanan atau penyumbang kepakaran.

"Alumni KYF adalah aset FELDA yang amat berharga dan di sinilah terletaknya kekuatan KYF.

"KYF melahirkan lebih 31,633 alumni yang kini menyumbang kepada pelbagai sektor strategik negara, sekaligus mengangkat nama FELDA sebagai satu daripada tunjang dalam ekosistem pembangunan kemahiran nasional," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu 534 graduan KYF hari ini meneruskan usaha menambah ilmu selaras perubahan pantas yang berlaku pada masa ini.

"Dunia hari ini berubah terlalu pantas, mereka yang berhenti menimba ilmu, akan tertinggal jauh ke belakang. Jadi, kita perlu ambil peluang untuk menambah ilmu di mana-mana juga," katanya.

-- Berita Harian

 

Lain-lain pautan seperti berita ini:


Federal Land Development Authority, FELDA Tower, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia.
Telephone: 03-2191 2191 | Email : [email protected]

Best viewed using the latest version browser with Resolution 1280 x 1024 and above.

socmed1 socmed2 socmed3  socmed4  socmed4  socmed1