KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadiri Malam Mega Selawat sempena Program Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang disertai lebih 1,500 pengunjung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam ini.
Ahmad Zahid tiba kira-kira jam 9 malam dengan diiringi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman; dan Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Program anjuran Waqaf FELDA itu dimulakan dengan bacaan doa disusuli alunan qasidah dan selawat oleh barisan artis termasuk Datuk Nash, Khai Bahar, Ezad Lazim, Kumpulan INTEAM, Lah Ahmad dan Azan Addin, selain sesi tausiyah.
Malam Mega Selawat adalah sebahagian daripada penganjuran MK3D yang menggabungkan tiga inisiatif utama, iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Hari Peneroka FELDA, dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
MK3D yang julung kali diadakan bermula semalam hingga Ahad ini, bukan saja mengoptimumkan sumber serta mengelak pertindihan program tetapi juga menjimatkan kos kerajaan dan memberi pengalaman menyeluruh kepada pengunjung serta pelabur.
Pada program itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, meluncurkan Takaful Berkat Afiat bagi memperkukuhkan kebajikan komuniti FELDA.
Selain itu, beliau menyaksikan penyerahan zakat perniagaan lima anak syarikat FELDA kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Kuala Lumpur (MAIWP) bagi 2025.
Ia untuk diagihkan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan merangkumi program Yasin bulanan di masjid-masjid dan Ziarah Kasih Asnaf di Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih.
Lima anak syarikat itu ialah Koperasi Permodalan Felda (KPF), Koperasi Generasi Felda Baharu (KGFB), Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP), Koperasi Pekerja Felda Malaysia Berhad (KOGUNA) dan FGV Holdings Bhd (FGV).
Ahmad Zahid turut menyaksikan penyampaian penyerahan dua van jenazah FGV kepada wakil FELDA Triang 1 Wilayah Mempaga dan FELDA Sungai Rentang Wilayah Jengka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka merasmikan karnival itu pada Sabtu ini.
-- Berita Harian
Lain-lain pautan seperti berita ini:
- Ahmad Zahid hadir Malam Mega Selawat MK3D 2025 (Berita Harian)
- TPM Ahmad Zahid hadir Malam Mega Selawat MK3D (RTM)
- Ahmad Zahid Hadir Malam Mega Selawat MK3D (Bernama)
- Ahmad Zahid hadir Malam Mega Selawat MK3D (Astro Awani)
- Zahid bersama warga Felda, hadir Malam Mega Selawat (Malaysia Gazette)
- Ahmad Zahid Attends Malam Mega Selawat MK3D (Bernama)
