Sambutan bertemakan 'Peneroka Mandiri Felda Lestari' juga disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar, model baharu itu bermatlamat meningkatkan taraf hidup 112,635 peneroka menerusi pendekatan baharu supaya mereka tidak lagi terlalu bergantung dengan kelapa sawit semata-mata.

Perkara itu menurutnya penting memandangkan komoditi tersebut kini mengalami ketidaktentuan harga pada masa ini, menyebabkan perlunya peneroka mencari alternatif lain seperti terlibat dengan tanaman kontan.

Katanya, tanaman kontan dilihat boleh memberi pulangan antara lima ke 10 kali ganda dan mungkin lebih, berbanding kelapa sawit sekali gus memberikan pendapatan lebih baik kepada peneroka.

Sambutan itu yang julung kalinya diadakan di bawah pentadbiran baharu negara, berlangsung di Felda Selancar 3 kerana persekitarannya yang mempunyai keindahan alam, dengan jangkaan dihadiri 10,000 peneroka.

Selain pengumuman model baharu, sudah pasti peneroka dari Felda yang bertanding berminat untuk mengetahui jika mereka berpeluang memenangi RM1 juta andai merangkul tempat pertama Anugerah Rancangan Kampung Felda.

Selain itu, sambutan hari ini juga akan menobatkan gelaran Anugerah Usahawan Felda, Anugerah Masjid Contoh, Anugerah Tokoh Imam dan Anugerah Ikon Anak Felda.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan termasuk menu menggunakan daging arnab oleh chef Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, yang merupakan generasi kedua Felda Sungai Koyan, Lipis dekat sini. - Bernama